Header Ads

Pegawai polis wanita, dua anggota didakwa bantu Geng 36


Seorang pegawai polis wanita dan dua anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini masing-masing atas tuduhan membantu anggota kumpulan ‘Geng 36’, iaitu pertubuhan yang salah di sisi undang-undang, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Inspektor S. Kushalani, 32, Sarjan A. Rajaratnam, 42, dan Konstabel M. Uthayakumar, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.


Loading...
Mereka didakwa masing-masing membantu anggota kumpulan Geng 36 yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang di Beats Club, Desa Sri Hartamas, di sini antara 1 Jan 2015 dan 2 Mei tahun lalu mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias menawarkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala Kushalani dan Rajaratnam diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Uthayakumar diwakili peguam Nicholas Netto.

- Bernama

No comments

Loading...