Header Ads

PAS Kelantan mahu pertahan hak istimewa orang Melayu


KOTA BARU ― PAS Kelantan kekal dengan pendirian mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga Naib Presiden PAS berkata walaupun kerajaan negeri belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), namun kekal dengan pendirian mereka memperjuangkan hak orang Melayu.

Loading...

“Secara rasmi kita belum bincang tetapi pendirian kita selama ini kita berpegang teguh kepada Perlembagaan negara terutama membabitkan Perkara 152, Perkara 59 dan lain-lain (berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu).

“Jadi ini pendirian kita selama ini. Kita mempertahankan perkara ini sejak dahulu lagi kerana tanah ini milik orang Melayu. Orang India ada benua India, orang Cina ada benua China, maka tanah Melayu untuk orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri berhubung langkah yang diambil kerajaan persekutuan untuk meratifikasi konvensyen berkenaan.

Sementara itu, Mohd Amar berkata keluasan rizab tanah bagi orang Melayu di Kelantan berjumlah 1,308,686.97 hektar atau hampir 90 peratus keluasan negeri ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri memberi pemilikan kepada orang bukan Melayu namun status rizab Melayu masih dikekalkan selain hanya diberikan secara pajakan selama 33 dan 66 tahun.

Mohd Amar menjawab soalan dikemukakan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang mahu tahu jumlah keluasan sebenar baki tanah rizab Melayu di Kelantan dan langkah diambil kerajaan negeri untuk mengekalkan keluasan sedia ada. ― Bernama

No comments

Loading...