Header Ads

'OKT ke-7 juga dakwa orang lain tawar wang untuk mengaku bunuh Kevin'

Najib Razak - Foto Sinar Harian

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Datuk Kevin Morais bahawa beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai mengarut.

Menurut Najib, terdapat tujuh individu dituduh dalam kes pembunuhan timbalan pendakwa raya berkenaan dan hanya tertuduh ke-7 membuat dakwaan sedemikian.

"Hanya orang kena tuduh (OKT) yang ke-7 tiba-tiba mendakwa saya menawarkan RM3.5 juta melalui seorang pegawai penjara yang tidak dinamakan untuk mengaku membunuh Kevin.

Loading...

"Sebelum menuduh saya, OKT 7 ini juga pernah menuduh adik kepada Kevin Morais menawarkan RM2 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.

"Dan sebulan sebelum itu, OKT 7 juga mendakwa bahawa (pakar patologi tentera) Dr Kunaseegaran yang turut didakwa dalam kes ini telah menawarkan RM1.5 juta bagi mengaku membunuh Kevin.

"Tuduhan OKT 7 ini untuk melibatkan nama saya nampaknya sangat mengarut," kata Najib dalam kenyataanya malam ini seperti dilaporkan portal Malaysikini.

Baca: Tertuduh dakwa ditawar RM1.5 juta untuk mengaku bunuh Kevin Morais

Terdahulu, Bernama melaporkan tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Kevin membuat pengakuan ditawar RM3.5 juta daripada Najib untuk melakukan pembunuhan berkenaan.

S. Ravi Chandaran, 47, turut mengakui tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara dan selain itu turut menerima tawaran daripada adik Kevin Morais sendiri iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.

Ravi Chandaran yang juga saksi pembelaan keenam berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili pakar patologi tentera, Dr R. Kunaseegaran, pada prosiding membela diri hari ke-24.

Semalam, dia mendakwa peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Dr R. Kunaseegaran telah menyuruhnya mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu.
Menurut Najib, mereka yang hanya membaca tajuk berita Bernama pasti akan mendapati sesuatu yang pelik selepas membaca sepenuhnya kandungan artikel tersebut.

"Editorial Bernama juga agak nakal dengan menggunakan tajuk sensasi ala tabloid seperti itu dan nescaya mereka yang malas membaca akan terus percaya pada tajuk itu semata-mata," kata Najib.

Menurut Najib, pertama kali nama beliau dikaitkan dengan pembunuhan Kevin dibuat oleh portal Sarawak Report yang mendakwa lelaki itu dibunuh kerana terlibat dalam penyiasatan kes 1MDB ataupun SRC International Sdn Bhd

"Pada masa itu, saya menganggap tohmahan Sarawak Report ini juga amat mengarut kerana ramai yang terlibat dalam siasatan untuk setiap kes.

"Tidak logik bahawa Kevin seorang yang dijadikan mangsa tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?"

"Oleh kerana pasukan propaganda Pakatan bekerja kuat dalam menanam kebencian terhadap saya, maka ramai termakan fitnah dan mempercayai yang saya terlibat walaupun tidak logik sama sekali," katanya.

Menurut Najib, pada akhir Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd mahupun 1MDB.

"Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report," kata Najib.

No comments

Loading...