Header Ads

Nooryana solat tahajud untuk Rosmah


KUALA LUMPUR - Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan perasaan di laman Instagram susulan penahanan ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, sebentar tadi.

Nooryana Najwa akui terlalu sedih untuk menangis dan terlalu marah untuk menjerit, lapor Sinar Harian.

“Saya yakin esok gambar akan terpampang di media...panggilan menakutkan itu datang jam 4 pagi.

Loading...

“Terlalu sedih untuk menangis, terlalu marah untuk menjerit. Saya bangun, ambil wuduk dan solat tahajud untuk Mummy (Rosmah),” tulisnya.

Rosmah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya jam 3.20 petang hari ini selepas lima jam memberi keterangan.

Rosmah bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam pada itu, Najwa menyifatkan tindakan penahanan ke atas ibunya itu melampau selepas rumah neneknya diserbu, dua minggu lalu.

“Saya boleh terima tindakan diambil ke atas lelaki yang pernah berkuasa (Najib) tapi sekarang isterinya pula, ini dah melampau.

“Dua minggu lepas rumah ibunya (nenek) diserbu dan hari ini reman isteri yang bakal dituduh pada hari sama suaminya akan dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Najib hari ini dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan dibawah Anti Money Laundering Act (AMLA) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Anak sulung pasangan tersebut berharap ibunya tetap tenang dan berehat malam ini.
“Sebab kenal dia, mungkin dia risaukan semua orang di rumah. Mummy, walaupun tak boleh dengar, ketahuilah saya baik-baik saja.

“Saya akan pergi kelas dan Adam akan tunggu untuk ‘FaceTime’. Cuba makan dan rehat malam ini,” katanya.

Tambahnya, tak kira apa yang berlaku, dia akan setia di sisi wanita yang melahirkannya, menyapu air matanya, tidur bersamanya apabila dia sakit dan mengajarnya berdiri atas kaki sendiri.

No comments

Loading...