Header Ads

Najib masih di SPRM selepas 4 jam

Najib  hadir ke SPRM pada 10 pagi tadi bagi melengkapkan siasatan kes 1MDB. - Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini dipercayai untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Bhd  (1MDB), masih berada di dalam bangunan berkenaan selepas empat jam.

Menurut sumber SPRM, Najib  hadir ke SPRM pada 10 pagi tadi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, pihak media yang menunggu di perkarangan ibu pejabat SPRM gagal merakamkan ketibaannya berikutan beliau menggunakan pintu belakang.

Loading...

Setakat pukul 2 petang, kira-kira 20 petugas media masih setia menunggu di bangunan SPRM bagi mendapatkan perkembangan terkini siasatan itu.

Pada 3 Oktober lalu, Najib memberi keterangan hampir tiga jam di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), di Menara KPJ, Jalan Tun Razak.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Najib sebelum ini didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. - Bernama

No comments

Loading...