Najib: Apa lagi yang Kit Siang mahu?
Lim Kit Siang(kiri) dan Najib Razak - Foto The Coverage
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak mempersoalkan apa yang sebenarnya diinginkan oleh Ahli Jawatan Kuasa
Tertinggi DAP, Lim Kit Siang terhadap dirinya.
Ini kerana menurutnya, Kit Siang tetap mempersoalkannya
walaupun beliau menyatakan kesediaan untuk disiasat berkaitan beberapa kes
pembunuhan yang dikaitkan dengannya.
“Kit Siang baru sahaja keluarkan kenyataan bahawa dia
terkejut kerana saya bersetuju dengannya supaya meminta kerajaan memulakan
siasatan khas terhadap kesemua kes pembunuhan yang PH pernah katakan saya
terlibat dengan kes berkenaan.
Loading...
“Saya tidak faham dengan Lim Kit Siang ini. Bila saya tak
setuju dengan beliau, dia marah. Bila saya bersetuju dengannya, pun dia marah,”
katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Najib berkata, Kit Siang marah kerana kononnya tiada
siasatan terhadap semua kes semasa beliau menjadi perdana menteri dan hanya
mahukan keadilan selepas hilang kuasa.
“Tidak betul, Kit Siang. Kes Teoh Beng Hock dibicarakan di
Mahkamah Tinggi, di Mahkamah Rayuan dan juga di Suruhanjaya Siasatan Diraja.
“Kes Altantuya dan Hussain Najadi dibicara selama
bertahun-tahun di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan.
“Kes Kevin Morais di mana tujuh orang dituduh juga telah
mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi sejak April 2017. Siapa kata tidak pernah
disiasat?,” katanya.
Jadi katanya, tiada alasan kerajaan PH untuk tidak
menyiasatnya selepas beliau menyatakan kerelaan untuk disiasat.
“Semua kertas siasatan, kuasa agensi-agensi siasatan untuk
ketiga-tiga kes pembunuhan dan mahkamah ada pada tangan kerajaan PH.
“Tiada sebab untuk mereka tidak mengambil langkah itu tanpa
lengah dan perlu segera mewujudkan siasatan khas sebagaimana diarahkan Kit
Siang melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini pada masa
depan untuk terus memfitnah saya,” katanya.
Dalam hantaran itu, Najib turut mengemukakan pertanyaan
kepada Kit Siang.
“Adakah kamu masih mahu siasatan khas dibuka sebagaimana
gesaan anda dua hari lalu kepada kerajaan PH untuk laksanakan? Adakah kamu akan
memujuk Perdana Menteri untuk melakukan ini serta-merta?,” soalnya. - Sinar Harian
Post a Comment