Header Ads

Misteri lemas di Sungai Arau terjawab, akibat tekanan hutang tiga beranak minum racun, terjun sungai

Pihak berkuasa dan orang ramai mencari mangsa keempat setelah tiga beranak ditemui lemas di Arau, 18 Oktober 2018. ― Foto ihsan Facebook/Nurul Faraain Abdul Rahman

TIGA beranak yang lemas di Sungai Arau semalam, dipercayai bertindak meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat tekanan hutang.

Perkara itu berdasarkan keterangan awal anak lelaki mangsa berusia 37 tahun kepada pihak polis selepas dia ditahan semalam di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, malam tadi, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, penahanan lelaki berusia 37 tahun itu dilakukan di restoran di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, kira-kira 10 malam selepas polis mendapat maklumat awam.

Loading...

Katanya, berdasarkan keterangan lelaki terbabit, mereka sekeluarga menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Arau pada pagi Selasa lalu, sebelum bertindak meminum racun dan terjun ke Sungai Arau.

"Bagaimanapun lelaki berkenaan berubah fikiran selepas melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai berkenaan sejurus meminum racun.

"Akibat terlalu takut dia mengambil keputusan balik ke Sungai Petani menaiki kereta api pada Rabu pagi sebelum dikesan orang ramai malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anak lelaki mangsa berusia 37 tahun yang berubah fikiran selepas melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai berkenaan telah lemas dan dihanyutkan arus. Dia kini ditahan bagi membantu siasatan. - Foto Kosmo!

Noor Mushar berkata, berikutan itu lelaki berkenaan direman bermula hari ini hingga 22 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kematian keluarga berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian," katanya.

Semalam NSTP melaporkan mayat tiga beranak, Baharom Ahmad, 66, Norma Pin, 64, dan Norzalina Baharom, 35, ditemui orang awam terapung di dalam sungai di dua lokasi berlainan di Arau.

Tiga beranak berkenaan kali terakhir dilihat saudara mereka sedang berjalan kaki di tepi sungai berkenaan kira-kira tiga kilometer dari rumah saudara mereka sebelum dilaporkan hilang.

No comments

Loading...