Header Ads

Mehmet Durakovic paling gembira, lima kali julang Piala Malaysia


SHAH ALAM ― Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menjadi individu paling gembira apabila meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima dalam kerjaya bola sepaknya, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Australia berusia 53 tahun itu, sebelum ini menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada edisi 1995, 1996 serta 1997 sebagai pemain, dan pada 2015 selaku ketua jurulatih Selangor.


Loading...
Perak merangkul kejuaran Piala Malaysia buat kali kelapan selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi 120 minit, termasuk 30 minit masa tambahan di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, skuad Seladang memenangi Piala Malaysia pada 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998 dan 2000.

“Menjulang kejuaraan ini bersama Perak selepas beberapa tahun dan memenangi perlawanan ini setelah ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, adalah sesuatu yang menakjubkan, dan bagi saya, aksi malam ini akan menjadi sejarah dalam bola sepak Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

“Stadium ini menyimpan banyak kenangan indah kepada saya dan keluarga kerana anak-anak saya membesar di sini, dan saya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua,” kata Durakovic yang memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya pada perlawanan malam tadi.

Dalam pada itu, ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui tuah tidak menyebelahi skuad Penyu dalam penentuan sepakan penalti, namun masih berbangga dengan aksi cemerlang ditampilkan kebanyakan pemainnya yang beraksi buat pertama kali dalam kapasiti penonton begitu ramai.

“Bagi saya, penentuan sepakan penalti itu umpama loteri dan elemen tuah tidak bersama kami. Kami kalah kepada Perak dalam perlawanan sahaja tapi menang dalam aspek lain dan saya puji aksi pemain saya pada malam ini,” katanya.

Irfan yang sah kekal bersama TFC pada musim depan mengakui hanya kapten pasukan, Brice Hermann Tchétché Kipré yang benar-benar berkesan di jentera serangan menerusi dua jaringan, walaupun beliau turut mengharapkan dua lagi pemain, Abdul Malik Mat Ariff dan K. Partiban untuk membantu skuad Penyu meraih lebih banyak gol. ― Bernama

No comments

Loading...