Header Ads

Malukan Malaysia, warga Syria tinggal di KLIA ditahan

Lelaki warga Syria Hassan Al Kontar ditahan polis kerana berada di kawasan larangan lapangan terbang tanpa pas menaiki penerbangan. - Foto ihsan Facebook/Hassan Kontar

PUTRAJAYA, 2 Okt  ― Lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang didakwa tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lepas ditahan polis, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang mengesahkan penahanan itu berkata pihaknya akan mengambil alih kes itu selepas siasatan yang dijalankan polis selesai.

Beliau berkata jabatan itu akan bekerjasama dengan kedutaan Syria untuk membolehkan lelaki itu dihantar pulang atau keluar dari Malaysia selepas ini.

“Lelaki itu ditahan polis semalam kerana berada di kawasan larangan lapangan terbang tanpa boarding pass (pas menaiki penerbangan).

Loading...


“Kita akan selesaikan segera isu ini dengan kedutaan Syria kes ini  perlu ada penyelesaian kerana ia memalukan negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Narrowcasting Media dan Visa serta Pas Malaysia versi baharu di sini, hari ini.



Mustafar berkata Hassan yang bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki Malaysia 7 Mac lepas memberikan alasan enggan pulang ke Syria kerana bimbang dipaksa menjadi tentera.

“Walau apa juga alasannya, kita tidak akan berkompromi dan akan pastikan kes ini ditutup dengan lelaki itu dikeluarkan dari negara ini,” katanya.

Mustafar berkata sebelum ini, Hassan telah cuba memasuki Kemboja selepas tempoh pas lawatannya ke Malaysia berakhir tetapi tidak dibenarkan oleh pihak keselamatan negara itu.

“Di sana, dia tidak dibenarkan masuk kerana sebab tertentu dan balik semula ke Malaysia. Dia usahakan pelbagai cara dan keluarkan kenyataan yang memalukan negara kita di media sosial,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, Hassan, 36, mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lepas kerana bimbang akan ditangkap jika pulang ke Syria.

Sepanjang tempoh itu, Hassan menghantar blog video tentang kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata penahanan enam pegawai Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana didakwa terbabit dalam perlakuan rasuah turut dibantu oleh pasukan risikan jabatan itu yang bekerjasama dengan SPRM.

Katanya beliau sendiri telah bercakap dengan pegawai atasan SPRM mengenai tindakan bersama yang boleh diambil terutamanya berkongsi maklumat risikan sehingga individu berkenaan ditangkap.

Beliau berkata perkara itu dilakukan selepas pihaknya mengesan perbuatan segelintir pegawai jabatan itu yang  seumpama ‘duri dalam daging’ menyalahgunakan kuasa sehingga memberi imej negatif kepada Imigresen.

“Sebab itu, jika ada tuduhan di mahkamah kita akan pastikan mereka dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana menyalahgunakan amanah yang diberikan,” katanya.

Sabtu lepas, enam pegawai imigresen serta dua wanita, seorang daripadanya warga Vietnam direman empat hari bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki bersubahat dengan sindiket untuk melepaskan inidividu disenarai hitam keluar dan memasuki negara ini. ― Bernama

No comments

Loading...