Header Ads

Mahkamah Tinggi isytihar kapal Equanimity milik kerajaan Malaysia


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan kapal mewah  'Equanimity' sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pemilik berdaftar gagal hadir untuk menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal tersebut.


Loading...
Peguam Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan perundangan bagi plaintif berkata, ia diputuskan mahkamah ketika membenarkan permohonan 1MDB dan kerajaan untuk mendapatkan perintah penghakiman ingkar setelah pemilik pendaftar kapal tersebut tidak memfailkan kehadiran dalam saman berkenaan.

Beliau berkata, keputusan dibuat di dalam kamar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Khajidah Idris.

"Mahkamah hari ini memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiari kapal. Sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat ini.

"Kini kapal itu boleh dijual tanpa sebarang kekangan undang-undang. Pihak defendan, walaupun tahu tentang saman ini, tidak hadir sehingga sekarang. Ini tidaklah memeranjatkan kerana tuntutan serta bukti yang ada cukup banyak dan mereka mengambil kira bahawa amat sukar untuk menafikan 1MDB dan kerajaan memiliki kapal itu,” katanya. - Bernama

No comments

Loading...