Header Ads

Kes tanah DBKL: Tengku Adnan dipanggil SPRM 12 kali


KUALA LUMPUR  Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendedahkan beliau telah dipanggil lebih 12 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung transaksi tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan pentadbiran kerajaan terdahulu.

Tengku Adnan (BN-Putrajaya) berkata beliau tiada kena-mengena dengan kelulusan (penjualan) tanah di Wilayah Persekutuan sepanjang memegang jawatan sebagai menteri.

“Waktu saya ambil alih kementerian (Wilayah Persekutuan) pada 2013, masalah tanah saya dah pulang kepada Jabatan Perdana Menteri, saya tidak ada kena-mengena atas kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.


Loading...

“Ramai kata saya tidak dipanggil oleh SPRM, yang sebenarnya saya telah dipanggil lebih 12 kali dan saya telah beri keterangan apa yang saya tahu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Adnan bangun membuat penjelasan itu sebelum bertanya soalan tambahan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berhubung berapa banyak tanah yang diberikan di atas nama DBKL sepanjang beliau (Tengku Adnan) menjadi menteri.

Ketika menjawab soalan itu, Khalid berkata beliau mengakui ada beberapa tanah yang asalnya milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ditukar nama kepada DBKL dan kemudiannya dijual DBKL untuk memberikan hasil kepada pihak berkuasa tempatan itu.



“Bagaimanapun, itu tidak menafikan bahawa hasil rundingan, kita telah mendapat RM149 juta lebihan, yang mana bukti jelas tanah itu telah dijual lebih murah daripada sepatutnya.

“Walaupun kita akui bukan hanya DBKL dan Kementerian Wilayah sahaja yang terlibat, ada Exco tanah juga terlibat yang kita tahu Putrajaya (Tengku Adnan) tidak terlibat, tetapi kita harus akui ada transaksi yang dibuat tidak ikut prosedur, tidak perlu kita buat tuduhan-tuduhan dalam Dewan, kami daripada kementerian dan DBKL akan beri sokongan penuh kepada SPRM supaya apa yang berlaku terdedah sepenuhnya supaya rakyat tahu,” katanya.

Terdahulu, Khalid berkata kementeriannya masih belum menerima sebarang makluman terkini daripada SPRM berhubung siasatan 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah milik DBKL ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pihaknya hanya menerima surat bertarikh 7 Ogos lepas daripada SPRM yang memaklumkan DBKL boleh meneruskan kebenaran dalam mengeluarkan kelulusan dan tidak perlu ditangguhkan lagi (transaksi) kerana ia tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan SPRM, katanya.

“Berdasarkan jawapan SPRM itu, kementerian difahamkan bahawa siasatan terhadap penjualan tanah itu masih dijalankan, hasil siasatan SPRM di luar bidang kuasa kementerian, persoalan sekiranya terdapat unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam transaksi ini lebih sesuai dijawab SPRM,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta kementerian menyatakan secara terperinci transaksi penjualan tanah DBKL yang terdapat unsur-unsur penyelewengan dan melibatkan pecah amanah.

Khalid berkata kementerian telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Khas (Task Force) untuk meneliti keseluruhan 97 transaksi tanah DBKL itu.

Hasil siasatan dan perbincangan jawatankuasa berkenaan dengan syarikat yang terlibat dengan transaksi tanah DBKL, sebanyak 43 daripada 97 transaksi tanah diteruskan mengikut perjanjian asal kerana tiada sebarang isu berbangkit, malah mencatat nilai transaksi lebih tinggi iaitu RM1.642 bilion harga jualan berbanding RM1.433 bilion harga nilaian, katanya.

Katanya 14 transaksi tanah melibatkan keluasan 53.98 ekar (21 hektar) dibatalkan dengan persetujuan  syarikat manakala 15 transaksi tanah dengan keluasan 145.79 ekar (58 hektar) dirunding semula dan memperoleh tambahan hasil kepada DBKL sebanyak RM149 juta.

“Sebanyak 20 transaksi yang telah sempurna pindah milik tanah dan siap projek tetapi didapati ada keraguan dari segi proses jualan tanah, harga nilaian tanah dan caj pembangunan diserahkan untuk siasatan lanjut SPRM.

“Lima transaksi tidak mencapai persetujuan, dengan tiga syarikat yang melibatkan tiga transaksi ingin terus berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani walaupun diperakui berat sebelah dan satu syarikat telah memfailkan tindakan di mahkamah untuk memaksa DBKL mematuhi perjanjian berat sebelah tersebut,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Khalid berkata 70 peratus daripada 97 transaksi  meragukan melibatkan tanah DBKL itu telah diurusniagakan semasa Tengku Adnan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Khalid berkata setakat ini, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lengkap kepada umum tentang bagaimana beberapa plot tanah dijual di bawah harga pasaran kerana perkara itu sedang disiasat SPRM. — Bernama

No comments

Loading...