Header Ads

Kerajaan terima 21 cadangan projek kereta nasional baharu


KUALA LUMPUR - Kerajaan setakat ini sudah menerima 21 cadangan firma tempatan dan asing bagi projek kereta nasional ketiga berbanding 14 sebelum ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming berkata, peningkatan itu jelas membuktikan projek kereta nasional baharu itu tidak terjejas dengan keputusan firma United Kingdom, Dyson untuk membuka sebuah kilang pengeluaran kereta elektrik baharu di Singapura.


Loading...

"Bagi saya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbangkan keputusan Dyson ini kerana kita bukannya tewas dengan Singapura (dalam kes ini)," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Forum Kecemerlangan Perniagaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, kewujudan kilang kereta elektrik itu sebaliknya boleh memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia yang kini berpeluang menyertai rantaian nilai terbabit.



"Dyson memilih Singapura berikutan lokasi strategik republik itu dari segi rantaian bekalan global dan sudah pasti Johor akan menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Malah, katanya, lebih banyak berita menarik membabitkan pelaburan Dyson itu akan diumumkan oleh Menteri MITI, Datuk Darell Leiking sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke Bangkok.

Sementara itu, Kian Ming berkata, ramai penggiat industri teruja dengan Dasar Industri 4.0 yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Oktober ini.

"Ini adalah sesuatu yang diharapkan oleh penggiat industri dan mereka ingin melihat bagaimana perkara itu dapat dijanakan menerusi Bajet 2019," katanya. - Bernama

No comments

Loading...