Header Ads

‘Kerajaan bayar RM1.688b faedah 1MDB tahun ini’ - Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menunjukkan jadual pembayaran kadar faedah 1MDB semasa hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Kerajaan membayar sejumlah RM1.688 bilion untuk faedah hutang skandal 1MDB pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu termasuk dua lagi pembayaran yang akan dibuat bulan depan, iaitu RM217.51 juta untuk bon Projek Loji Tenaga Kuala Langat 1MDB dan RM143.75 juta bagi sukuk Islamik nota jangka sederhana (IMTN), lapor Sinar Harian hari ini.

"Hari ini, kita bayar RM208.8 juta untuk faedah Projek Loji Tenaga Kuala Langat 1MDB.


Loading...
"Ini bukanlah satu jumlah yang kecil. Kita akan terus buat pembayaran seperti mana yang 'dikontrakkan' kerajaan lama," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan manfaat daripada pembayaran hutang skandal berkenaan.

"Soalan akan ditanya apa yang kita dapat? Kita lihat keseluruhan skandal ini, sebanyak RM50 bilion. Soalan yang akan timbul ialah apa yang rakyat Malaysia dapat?

"Yang kita dapat hanya dikenali di seluruh dunia sebagai jaguh kleptorasi dunia. Ia adalah suatu skandal yang mencederakan Malaysia bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga dari aspek imej dan reputasi," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah fiskal untuk menangani masalah pembayaran hutang 1MDB.

"Kita akan terus memenuhi komitmen supaya Malaysia tak akan berada dalam status 'default' (tidak membayar hutang) kerana kesannya sekiranya Malaysia dalam status itu, ini akan menjejaskan penarafan (kredit) negara dari agensi penarafan," katanya.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, kerajaan akan memenuhi obligasi membayar hutang 1MDB berjumlah RM211.3 juta, yang bertarikh akhir 18 Oktober.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk membayar secara segera dan tanpa mengingkari obligasi hutang itu akan mengekalkan penarafan kredit antarabangsa Malaysia.

No comments

Loading...