Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian 'Pulse Field Gel Electrophoresis' (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang hari ini mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

"Bakteria tersebut dikesan daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober dari gerai terbabit. Mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha yang juga tuan punya gerai.
"Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jumlah keseluruhan kes kekal 83 termasuk dua kematian susulan kejadian keracunan makanan yang berpunca dari memakan laksa yang dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktober lepas. - Bernama