Header Ads

Kenyataan ‘ketuanan Melayu berakhir’ Syed Saddiq disalah tafsir, kata Muhyiddin


MUAR — Pandangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengenai ketuanan Melayu sudah berakhir telah disalah tafsir, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kenyataan Syed Saddiq itu ditafsir seolah-olah Bersatu tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu, sebaliknya parti berkenaan sendiri wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Loading...

“Meskipun memperjuangkan nasib Melayu, negara kita ini juga ada kaum bukan Melayu yang turut memerlukan sokongan daripada kita supaya mereka juga boleh bersama-sama berkongsi kekayaan ada di negara ini.

“Kita kena faham dalam senario dan situasi zaman kini, zaman selepas kita menang pilihan raya dan membentuk kerajaan dengan harapan baharu, di situlah kita berjanji bahawa kita akan berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa jua kaum dan keturunan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata demikian ketika sesi soal jawab pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Bersatu Bahagian Pagoh Kali Pertama 2018 di Pagoh, di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata zaman ketuanan Melayu telah berakhir selain Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan, dan perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan Bersatu.

Video Anggota Parlimen Muar itu turut menjadi tular di media sosial semalam dan menjadi perbincangan orang ramai.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan perjuangan parti itu adalah untuk terus mengangkat darjat dan martabat rakyat Malaysia agar masyarakat di negara ini terus menjadi bangsa yang maju dan dihormati.

“Sebab itu kalau ada dalam kumpulan masyarakat di Malaysia tidak kira apa kaum sekali pun seperti miskin, papa kedana kita bantu, jangan cakap saja ketuanan itu ketuanan ini tapi tidak ada langkah berkesan dan tiada apa dikotakan.

“Kita ingin mencari satu pendekatan lebih sesuai, naratif lebih baik dan boleh diterima semua masyarakat kerana masih banyak perkara belum diselesaikan dan harus dilakukan.

“Dalam kita memperjuangkan hak orang Melayu, kita turut ingin berkongsi kekayaan secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gambir, menasihatkan agar kesemua anggota parti menjaga tingkah laku dan tutur kata berikutan cabaran masa kini menyaksikan segala perkataan dan perbuatan dilakukan akan mudah tular di laman sosial sekali gus boleh mencemarkan nama baik parti. — Bernama

No comments

Loading...