Header Ads

'Kenapa tak marah bila Najib kata Kelantan tak mampu bayar gaji?' - Guan Eng


KUALA LUMPUR — Menteri Kewangan Lim Guan Eng kesal dengan reaksi berat sebelah oleh pemimpin  PAS Kelantan terhadap kenyataan beliau mengenai pengurusan kewangan kerajaan negeri itu di Parlimen semalam.

Jelas beliau hakikat ini bukanlah perkara baharu tetapi telah berlarutan sejak zaman kerajaan pusat ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) di mana kerajaan negeri Kelantan sentiasa terdesak mencari wang untuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbirannya.

Jelas Lim dalam satu kenyataan hari ini, pada tahun 2016, Kelantan memang telah menerima RM398 juta, secara keseluruhan, sebagai pemberian daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang diterima negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Loading...

Turut termasuk di dalam pemberian RM398 juta itu ialah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Sehingga 31 Disember 2017, kerajaan negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman  pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan kerajaan negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini, kata Lim.

“Perlulah ditegaskan hanya negeri yang bermasalah dalam aspek pengurusan kewangan perlu memohon pemberian defisit dan pinjaman pendahuluan.

“Tahun ini pula pada bulan Jun 2018, kerajaan negeri Kelantan sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan untuk membantu membayar gaji dan emolumen kakitangan kerajaan negeri dan permohonan itu telah diluluskan,” kata Lim.

Beliau mempersoalkan mengapa tidak ada reaksi sebegitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan PAS ketika mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kepada umum pada 28 Januari 2018 bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri itu.

“Sebaliknya apabila saya sebagai Menteri Kewangan buat kenyataan yang sama, barisan kepimpinan PAS memainkan sentimen yang begitu berapi-api dan membuat fitnah jahat konon saya berdendam dengan PAS sedangkan saya hanya menyatakan hakikat bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji dan emolumen kepada anggota pentadbirannya,” jelas Lim.

Katanya lagi sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka. — Bernama

No comments

Loading...