Keluarga mohon sumbangan tabung bantu Najib
“Jika tak keterlaluan, sudilah jika ada kalangan saudara dan
saudari yang ingin membantu dengan turut menyumbang ke tabung ini,” luah bekas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perkongsiannya di laman sosial
Facebook, di sini, tadi.
Najib berkata, anaknya, Nooryana Najwa dengan kerjasama
sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bernama Gerakan Belia Sejagat menubuhkan
sebuah tabung,dalam usaha mereka untuk menolong beliau.
Menurutnya, selain itu, tabung berkenaan juga adalah untuk
mempertahankan aktivis-aktivis pengkritik kerajaan yang kini menerima tekanan
dan tindasan dari pihak kerajaan untuk menutup mulut mereka.
Loading...
“Ini termasuklah seorang yang kini disaman oleh Syabas
kerana pernah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik kerajaan Selangor kerana
perkhidmatan air di sana sering putus dan mungkin memberi kesan kepada
kesihatan orang ramai.
“Secara jujurnya, kami mengalami tekanan kewangan akibat kos
guaman dan ikat jamin yang tinggi,” katanya.
Najib berkata, setakat ini, pihaknya memperoleh pertolongan
dari sahabat terdekat dan saudara-mara yang tampil ke depan untuk menolong.
“...tetapi jika boleh, kami tidak mahu membebankan mereka
lagi. Jika tak keterlaluan, sudilah jika ada kalangan saudara dan saudari yang
ingin membantu dengan turut menyumbang ke tabung ini,” katanya.
Namun menurutnya, jika ada keutamaan lain yang mengikat
kewangan penyumbang, beliau menasihatkan untuk mengutamakan perkara itu dahulu.
“Apapun, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang
sentiasa mendoakan kami sekeluarga,” katanya.
Terdahulu dalam perkongsian status Yana Najwa, telah
dikongsikan satu kenyataan dari Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii yang merupakan
Sekretariat Tabung Solidariti DSN & Keluarga 2.0.
Menurut kenyataan berkenaan, pihaknya kini dalam usaha untuk
membantu dgn mengwujudkan satu Tabung Solidariti 2.0 DSN untuk membantu
kewangan bagi meringankan beban bekas perdana menteri dan keluarga bagi
perbelanjaan kos guaman dan ikat jamin yang telah mencecah jutaan ringgit
(anggaran RM7 juta).
“Tabung ini juga akan digunakan untuk membela
aktivis-aktivis yang mengalami tekanan ataupun tindasan dari kerajaan kerana
kerja mereka yang mengkritik kerajaan.
“Kami memohon jasa baik semua untuk memberi sumbangan
semampu yang boleh untuk kita sama-sama membantu beliau sekeluarga,” katanya.
Mohd Razlan berkata, diharap masyarakat dapat menunjukkan
solidariti membantu mantan bekas perdana menteri Malaysia yang telah banyak
berjasa kepada negara.
“Ia juga boleh memberi keberanian dan sokongan untuk
bersuara kepada aktivis-aktivis lain yang mengkritik kerajaan demi prinsip
semak dan imbang yang sangat penting dalam sesuatu demokrasi seperti negara
kita.
“Semoga sumbangan anda sebagai rakyat Malaysia yg masih
menyayangi DS Najib dan menghargai prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara
akan memberi kekuatan dan sokongan moral kepada beliau, keluarga dan
aktivis-aktivis pra-demokrasi untuk menghadapi dugaan ini,” katanya. - Sinar Harian
Post a Comment