Header Ads

KDN dapat maklumat terkini keberadaan Jho Low


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kementerian Dalam Negeri mendedahkan mempunyai maklumat terkini mengenai di mana Low Taek Jho atau Jho Low berada.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan kerjasama dengan pihak tertentu di negara yang disyaki Jho Low berada dalam usaha membawa pulang lelaki berkenaan.

“Beberapa hari lepas, saya dapat maklumat terkini bahawa kita tahu di mana dia (Jho Low) bagaimana caranya mungkin kita dapatkan kerjasama pihak-pihak tertentu di negara-negara yang dikata dia berada. Dikatakan dia bergerak antara satu tempat ke tempat lain sebagai cara untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak kita.


Loading...
“Tetapi langkah ini tidak akan berhenti sehingga kita dapat. Kalau Yang Berhormat cadang ke lubang cacing, lebih dari lubang cacing pun kita akan pergi untuk pastikan kes ini kita selesaikan dan bawa Jho Low balik ke sini dan dibicarakan sehingga dapat selesaikan isu 1MDB,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Berhubung usaha Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membantu kerajaan bagi mencari serta membawa pulang Jho Low, Muhyiddin berkata, pihak kerajaan tidak dimaklumkan sendiri oleh Ahli Parlimen Sembrong itu.

“Saya tak tahu Yang Berhormat Sembrong nak cari Jho Low, dia kata dia kenal dengan pemimpin China. Sebenarnya di peringkat Putrajaya kami tidak dihubungi oleh beliau. Saya pun berhubung dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ada ke YB Sembrong memberitahu, dia kata tidak diberitahu, dan oleh sebab itu, mungkin itu pandangan beliau (Hishammuddin) sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain daripada sesiapa sahaja yang ingin membantu, kementeriannya menerusi sumber-sumber dan organisasi tertentu akan terus berusaha menjejak Jho Low.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, KDN telah menerima maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung cadangan memansuhkan atau meminda Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan mengenai dasar kerajaan berhubung perkara itu.

“Kerajaan juga memberi jaminan bahawa pindaan atau pemansuhan undang-undang berkenaan akan menjamin hak asasi rakyat di samping tidak memberi implikasi negatif terhadap keselamatan dan ketenteraman awam serta keharmonian pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada akta-akta berkenaan akan dimansuh atau dipinda pada sesi persidangan kali ini, Muhyiddin berkata, beliau kurang pasti mengenai perkara itu kerana terdapat proses perbincangan dengan pihak pemegang taruh yang akan mengambil masa panjang.

Kepada soalan lain Ramkarpal supaya tindakan sewajarnya diambil atas dakwaan ahli perniagaan J. Deepak mengenai penglibatan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Muhyiddin berkata beliau mengambil maklum mengenai pendedahan berkenaan.

“Bagi kita di peringkat kementerian kalau ini dianggap sebagai bukti baru atau maklumat baharu yang dikatakan agak ada sedikit sebanyak berasas, maka kita boleh ambil tindakan sebagaimana dicadangkan. Mungkin kita boleh panggi Deepak dulu untuk dapatkan kenyataan sebenarnya,” katanya. - BERNAMA

No comments

Loading...