Header Ads

'Kalah PRU, BN perlu tanya diri sendiri', kata Dr Mahathir

Foto: FMT

PORT DICKSON - BN seharusnya mengambil iktibar selepas tumbang dalam PRU14 dan bertanya pada diri mengapa itu berlaku sejak pertama kali dalam tempoh 61 tahun.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, 9 Mei lalu (PRU14) adalah suatu yang tidak terjangka pada PH.

"Kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun telah dikalahkan dan dijatuhkan. Ketika itu ramai yang kata usaha PH untuk menjatuhkan BN adalah sia-sia kerana menganggap BN tidak boleh ditumbangkan.

"Malah, pemimpin utamanya ketika itu Datuk Seri Najib Razak berpendapat mereka akan menang 2/3 dalam PRU itu. Tetapi, kita semua tahu PH telah menang pada jam 8.30 malam, 9 Mei.

Loading...

"Tetapi, BN takut hendak beritahu rakyat, maka mereka tangguh isytihar kemenangan kami sehingga jam 2 pagi dan akui bahawa yang tidak boleh dikalahkan itu telah dikalahkan," katanya dalam ceramah mega PH, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dr Mahathir berkata, BN harus bertanya pada diri mereka sendiri mengapa perkara itu boleh terjadi.

Jelasnya, dahulu beliau adalah pengerusi BN dan presiden Umno serta telah memimpin lima PRU.

"Setiap kali PRU, saya sedar saya akan menang dan tidak mungkin parti lawan ketika itu menang. Saya tak takut dengan parti lawan. Sebabnya parti lawan tiada kerjasama, tiada pakatan malah ada yang berpakat di belakang...sebab itu kalah.

"Kalau mahu menang, perlu bersatu dengan jelas dan ikhlas," katanya.

Justeru, ahli Parlimen Langkawi itu berkata, untuk membina Malaysia ke arah lebih baik, usah kira tentang permusuhan lama jika mahu bersatu.

"Kalau fikir perkelahian lama, kita tidak boleh bersatu. Sebaliknya matlamat kita lebih besar untuk diri atau parti kita. Matlamat kita untuk jatuhkan kerajaan zalim yang dikenali dunia sebagai kleptokrasi.

"Walaupun dulu mereka (BN) kuat, gabungan PH telah bekerjasama dan belakangkan segala permusuhan lama, maka perpaduan itu jelas beri kejayaan kepada kita," katanya. - Sinar Harian

No comments

Loading...