Header Ads

JKM usahakan kebajikan dua anak wanita cuba lacur diri terpelihara, kata TPM


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menemu bual keluarga ibu tunggal yang didapati bersalah cuba melacurkan diri oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 27 Sept lepas, dalam usaha memastikan kebajikan anak-anaknya terpelihara..

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bukan menjadi hasrat pihaknya untuk mencampuri urusan mahkamah syariah.


Loading...
"Namun kebajikan wanita dan kanak-kanak adalah keutamaan saya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Wan Azizah berkata JKM mendapati wanita berusia 30 tahun yang mempunyai dua anak itu telah memohon bantuan kebajikan pada 2016 namun tidak diluluskan kerana telah menyerahkan anak pertamanya kepada kakak beliau. Anak kedua pula diserahkan kepada keluarga angkat tahun lepas.

Wanita itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam kali sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Sambil berkata apa yang berlaku amat menyedihkannya, Dr Wan Azizah bagaimanapun menegaskan: "Kami menghormati dan akur terhadap keputusan mahkamah syariah dan setuju setiap jenayah mestilah dihukum."

Beliau seterusnya berkata adalah penting untuk menggambarkan Islam bukan agama yang kejam dan tidak mengamalkan hukuman berat untuk memalukan sesiapa.

“Kita melihat keseluruhan aspek persekitaran yang melingkari setiap situasi dan mencari kaedah untuk membantu memulihkan pesalah,” tambahnya.

- Bernama

No comments

Loading...