Header Ads

Jangan ikut contoh PM lama, sindir Dr M


Perjuangan berdegar-degar mempertahankan ketuanan Melayu tiada makna jika golongan itu masih bekerja sebagai kuli, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pendirian itu berulang kali disampaikan kepada orang Melayu yang ketika ini masih mempertahankan dan mengangkat isu ketuanan Melayu, lapor Berita Harian hari ini.

“Kalau nak jadi tuan, kita boleh jadi tuan, tapi nak kena ada ilmu dan rajin bekerja. Buat benda secara baik, jangan tipu serta curi.


Loading...
“Jangan ikut contoh PM (Perdana Menteri) lama,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada penyandang terdahulunya, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Dorell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Perkilangan Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, pada 27 Oktober lalu dilaporkan berkata zaman ketuanan Melayu kini berakhir dan Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Meskipun dihujani kecaman pelbagai pihak berhubung kenyataan itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memuat naik kenyataan balas di akaun sosial media bahawa orang Melayu masih dibuai mimpi indah mengenai isu ketuanan bangsa berkenaan sedangkan hakikatnya mereka jauh ketinggalan.

Beliau berkata, laungan itu hanya kosong dan tidak berpijak di bumi nyata seperti dicerminkan pendirian orang Melayu yang lebih cenderung mengharapkan tawaran kerja selesa dan berhawa dingin, berbanding sikap ditunjukkan warga asing di negara ini.

No comments

Loading...