Header Ads

Erdogan komited bawa pembunuh Khashoggi ke muka pengadilan


KUALA LUMPUR — Turki komited untuk menyelesaikan kes pembunuhan  wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dan membawa pelakunya ke muka pengadilan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika berucap di parlimen pada Selasa.

Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci berkata, negaranya bersedia untuk mendedahkan pembunuhan itu - dengan sokongan serta kerjasama pasukan keselamatan dan perisikan yang kuat - membantu membongkar kejadian disifatkan presiden sebagai pembunuhan “kejam”.

“Kenyataan presiden kepada masyarakat antarabangsa amat jelas, bahawa Turki tekad untuk menyelesaikan kes itu dan akan memberikan sepenuh komitmen yang diperlukan oleh siasatan, selain bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi mencari dalang di sebalik pembunuhan tersebut.


Loading...
“Berasaskan hakikat yang kami berpegang teguh kepada tradisi bahawa membunuh seorang insan adalah seumpama membunuh kemanusiaan, maka pastinya tidak masuk akal bagi mendakwa pembunuh Khashoggi tidak akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa pasukan keselamatan kami amat cekap dan teliti dalam melaksanakan tugas mereka, bagi memastikan pembunuhan yang berlaku di khalayak dunia terutama di Istanbul, tidak akan dibiarkan begitu saja,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di ibu pejabat agensi berita itu di sini hari ini.

Khashoggi, 59, penulis ruangan Washington Post dan sering mengkritik kerajaan Arab Saudi melalui tulisannya, kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober untuk mendapatkan dokumen perkahwinannya.

Pihak Arab Saudi pada awalnya menafikan mengetahui kejadian yang menimpa wartawan tersebut, sebelum mengatakan Khashoggi telah dibunuh dalam satu pergaduhan di konsulat, penjelasan itu menimbulkan keraguan banyak pihak.

Mengulas ucapan Erdogan di Ankara, Kavakci berkata soalan yang bertalu-talu dihamburkan orang ramai dan masyarakat dunia, di mana sehingga kini masih belum berjawab, pasti satu persatu akan terjawab.

“Persoalan yang tidak dijawab akan dijelaskan pihak berkuasa, penyiasat serta pihak lain yang terlibat dalam kes itu.

“Bila tiba masanya hasil siasatan akan didedahkan kepada umum dan masyarakat antarabangsa yang ingin mengetahui kebenarannya. Pihak berkuasa lebih arif.

“Oleh itu, kita perlu bersabar dan memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan kes tersebut,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat keperluan bagi menubuhkan sebuah pasukan penyiasatan bebas,  Kavakci berkata ia boleh dibincangkan secara lebih lanjut bila masanya sesuai.

“Siasatan yang sedang dijalankan sekarang melibatkan Arab Saudi dan Amerika, kerana mangsa  pernah bekerja dengan akhbar (Washington Post) dan pihak berkuasa Turki.

Setakat kini, media antarabangsa melaporkan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman berkata pembunuhan Khashoggi adalah “jenayah kejam yang tidak boleh diterima sama sekali”.

Menerusi komen pertamanya secara terbuka sejak pembunuhan Khashoggi, putera mahkota itu berkata mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dengan bantuan Turki. — Bernama

No comments

Loading...