Header Ads

Dr Mahathir: Islam tidak ajar ceroboh kediaman, privasi individu


KUALA LUMPUR, 6 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Islam tidak mengajar umatnya melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara keterlaluan hingga menceroboh kediaman dan privasi individu di tengah malam.

Perdana menteri berkata sebaliknya Islam adalah sebuah agama yang mengutamakan dan mementingkan hak asasi manusia sejagat.

“Islam tidak suruh kita pergi cari salah orang sampai kerabat (ceroboh) rumah orang lain, itu bukan Islam,” katanya.

Loading...

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan “Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi : Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti”  di sini, hari ini. Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Persatuan Media Era Ketiga Cheah Tuck Wing selaku penganjur program.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang berkata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat.

Dalam satu temu bual dengan akhbar The Star, Mujahid dilaporkan berkata apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Jelas Dr Mahathir, Islam juga bukan agama yang mudah melaksanakan hukuman dengan mengambil nyawa seseorang sewenang-wenangnya.

Tegasnya, Islam juga tidak bersetuju untuk membunuh seseorang kerana ia adalah satu dosa.

“Islam bukan agama yang kejam. Ia bukan tentang memenggal kepala dan potong tangan. Ia tidak begitu.

“Terdapat pelbagai jenis hukuman yang lebih ringan, tetapi mereka ini mahu menganggu orang, potong tangan orang dan kepala orang, itu tidak Islamik,” tambahnya. — Bernama

No comments

Loading...