Header Ads

Dr M: Pemimpin Umno masuk PPBM tidak libatkan wang


KUALA LUMPUR, 30 Okt  — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak melakukan sebarang urus janji dengan anggota Parlimen dari Umno, termasuk  menawarkan kepada mereka wang untuk melompat parti.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, malahan berkata, “kami telah menetapkan bahawa  untuk menyertai Bersatu, mereka hendaklah meninggalkan Umno, menjadi anggota bebas untuk satu tempoh dan hanya selepas itu boleh memohon menjadi anggota parti kami”.


Loading...
“Sekiranya didapati sebarang elemen rasuah dalam perkara ini, anda disambut baik untuk melaporkannya dan kita akan ambil tindakan. Setakat ini, tiada melibatkan wang,” kata Dr Mahathir bila ditanya sama ada terdapat elemen rasuah apabila pemimpin Umno melompat ke Bersatu atau berhasrat berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini.

Anggota Parlimen Jeli,  Datuk Seri Mustapa Mohamed Mustapa menyertai Bersatu pada 26 Okt, selepas bertindak keluar dari Umno pada 18 Sept. Kira-kira 40 anggota Umno dikatakan bertemu Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan hasrat mereka untuk menyertai parti berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa proses untuk menerima pemimpin lain Umno tidaklah semudah itu.

“Contohnya, Tok Pa adalah anggota bebas untuk beberapa tempoh sebelum permohonan  beliau diluluskan,” katanya.

Dr Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa terdapat perbincangan berhubung tindakan 40 anggota Parlimen Umno yang didakwa berhasrat menyertai Bersatu.

Beliau berkata, kepimpinan Bersatu belum memasuki sebarang fasa perbincangan dengan anggota Umno yang berhasrat menyertai Bersatu.

Bersatu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai sama ada menerima atau tidak anggota Umno yang berhasrat menyertai parti itu. — Bernama

No comments

Loading...