Header Ads

Dr M: Pembunuhan Jamal Khashoggi zalim


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi merupakan satu kezaliman yang amat sangat dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata negara ini tidak menyokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan.

Loading...

“Kita ada orang yang kita tidak suka, tetapi kita tidak boleh bunuh dia sebab tidak suka dia. Nasib baik, pasal saya dulu pun orang tidak suka. Kalau kita ada sistem macam sistem Arab mungkin saya tidak boleh cakap hari ini.

“Alhamdulillah di negara kita tiada kezaliman macam itu,” katanya pada program Bicara Minda di Dewan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya berkenaan pendirian Malaysia berhubung pembunuhan tersebut.

Pada Sabtu lepas, Agensi Akhbar Saudi melaporkan Arab Saudi mengakui Khashoggi dibunuh di dalam konsulatnya di Istanbul.

Menurut laporan itu perbincangan di antara kolumnis akhbar Washington Post itu dan pihak yang ditemuinya di konsulat tersebut berubah menjadi satu pergaduhan yang membawa kepada kematiannya.

Susulan pembunuhan Khashoggi, komuniti antarabangsa memberi tekanan kepada Arab Saudi dengan beberapa negara dilaporkan membatalkan penyertaan dalam persidangan pelaburan Arab Saudi di Riyadh.

- Bernama

No comments

Loading...