Header Ads

Dr M: Ada bukti, dakwa Najib bukan balas dendam


BANGKOK — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tiada sesiapa boleh terkecuali daripada undang-undang.

Setiap orang, tidak kira sama ada dia perdana menteri yang sedang memerintah atau perdana menteri yang telah bersara ataupun raja-raja di Malaysia, mereka semuanya tertakluk kepada undang-undang negara.

“Kami tiada niat hendak membalas dendam kepada sesiapa tetapi semua orang adalah tertakluk di bawah undang-undang.


Loading...
“Sama ada anda Perdana Menteri yang memerintah atau Perdana Menteri yang telah bersara atau di Malaysia, raja-raja juga tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan dua harinya ke Thailand di sini hari ini.

Kerajaan katanya bukan bermain-main.

Mahathir ditanya mengenai banyaknya pertuduhan baru yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Siregar di mahkamah hari ini.

Mereka yang berkenaan didakwa di mahkamah kerana terdapat bukti-bukti terhadap mereka yang boleh dibawa ke mahkamah, kata beliau.

“Saya yakin mereka yang memfailkan pertuduhan-pertuduhan itu tentulah sudah mempunyai bukti untuk menuduh Najib dan yang lain-lain itu di mahkamah atas sesuatu kesalahan yang sangat serius,” katanya.

Selain Najib dan Irwan yang dihadapkan ke mahkamah hari ini, pertuduhan juga dikenakan terhadap isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

Kesemua mereka dituduh atas pelbagai kesalahan.

Mereka dihadapkan ke mahkamah setelah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan membersihkan kecelaruan yang telah ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu. — Bernama

No comments

Loading...