Header Ads

Bersih tegah, Anwar berkeras ke jamuan malam

Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menghadiri jamuan malam percuma di Lukut, Port Dickson meskipun kumpulan Bersih menggesa acara itu ditangguhkan.

Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, berkata komuniti di sana mahukan jamuan malam itu diadakan dan seperti calon yang lain, beliau boleh menghadiri mana-mana jamuan malam.

“Komuniti berkenaan mahu memberi jamuan malam, maksud saya calon lain juga menghadiri jamuan malam, kenapa saya tidak boleh?


Loading...
“Saya tidak fikir akan tangguhkannya (hadir jamuan malam itu),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas pada Persidangan Malaysia: Pelabur-pelabur baru yang awal di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan bahawa Bersih menggesa Anwar agar menangguhkan kehadiran pada acara jamuan malam itu untuk kira-kira 3,000-4,000 orang di Lukut, sehingga selepas pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober.

Acara itu dijadualkan Khamis malam.

Pilihan Raya Kecil Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru antara Anwar dan calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pensyarah Lau Seck Yan, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong dan pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada Sabtu ini dan hari ini undi awal.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Sementara itu semasa ucapan khas beliau pada persidangan itu, Anwar berkata Malaysia tidak boleh menggerakkan pertumbuhan ekonomi tanpa melibatkan Pelaburan Terus Asing.

Beliau berkata, setiap dasar pelaburan perlu inklusif, jelas dan telus.

“Tetapi ini tidak bermaksud kita mengabaikan rayuan mereka yang miskin dan terbiar,” katanya.

Persidangan itu dihos oleh kerajaan Malaysia dan dianjur bersama oleh tiga kumpulan bank terkemuka Malaysia iaitu — Malayan Banking Bhd, CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Banking Group.

Persidangan sehari itu membincangkan secara meluas mengenai ekonomi, sosial dan keanjalan serta  kemampanan politik Malaysia. — Bernama

No comments

Loading...