Header Ads

BERSATU: Tak tunggu Dr M baru nak gerak jentera


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menolak dakwaan bahawa jentera parti itu menunggu kehadiran pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk digerakkan bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya berkata BERSATU menggerakkan jenteranya sejak 29 September lepas, iaitu pada hari penamaan calon dan mengenal pasti pusat-pusat daerah mengundi untuk diberi perhatian.

“Sebelum ini kita sudah buat persiapan, sekarang ialah pusingan kedua turun padang. Kita bekerja dan kehadiran Tun (Dr Mahathir) amat kita alu-alukan kerana ini akan beri impak yang besar kepada gerakan kita,” katanya pada sidang media di Port Dickson, malam ini.

Loading...

Beliau berkata jentera Bersatu menumpukan usaha menarik sokongan pengundi Melayu dengan fokus utama parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya kehadiran Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, pada Isnin akan mampu menarik lebih banyak sokongan termasuk penyokong Umno untuk mengundi Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, sekali gus memberi kemenangan dengan majoriti besar.

Dr Mahathir dijadual hadir pada Isnin malam dan akan bergandingan semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 Oktober manakala pengundian awal 9 Oktober.

Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, yang sebelum ini dibubarkan, telah selesai distruktur semula dan dipimpin Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Tan Sri Dr Rais Yatim.


Katanya pimpinan baharu itu akan diumumkan oleh Rais selepas PRK Parlimen Port Dickson selesai.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 September lepas dipetik sebagai berkata tindakan pembubaran itu diambil atas nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai antara cara menyelesaikan masalah dalaman parti di negeri itu yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

- Bernama

No comments

Loading...