Header Ads

'BERSATU hanya terima anggota berintegriti, tidak rasuah'


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menerima mana-mana anggota yang ingin menyertai parti itu jika mereka didapati berintegriti, tiada isu salah guna kuasa serta tidak terlibat dengan skandal rasuah.

Pengerusi BERSATU Pulau Pinang Datuk Marzuki Yahya berkata, parti tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima mana-mana anggota yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik sebelum ini, asalkan tidak terpalit dengan skandal yang boleh menjejaskan parti.

"BERSATU sememangnya mempunyai jawatankuasa yang berperanan untuk menilai dan meneliti keanggotaan setiap ahlinya sebelum membuat keputusan (terima sebagai anggota parti).

Loading...

"Perjuangan kita adalah untuk memperkasakan bangsa Melayu selain menjadikan parti ini sebagai parti bermaruah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India dan peruntukan dana kepada 29 buah sekolah dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena perayaan Deepavali di Butterworth hari ini.

Sumbangan yang disampaikan itu berjumlah RM140,000.

Marzuki yang juga timbalan menteri luar turut mengulas mengenai kemasukan beberapa anggota baru termasuk bekas kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) iaitu Anggota Parlimen Jel, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam, yang disifatkannya sebagai satu penghijrahan yang positif.

"Kita sambut baik perkara itu, dan saya yakin tindakan itu dibuat atas dasar mendokong perjuangan parti," katanya.

Beliau turut menambah, BERSATU sama sekali tidak akan menerima kemasukan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jika didapati berbuat demikian (untuk menjadi anggota parti) kerana terpalit dengan pelbagai isu yang mencemarkan maruah parti dan kepimpinan tertinggi kerajaan sebelum ini.

"Kita takkan terima dia (Zahid), malah Umno kini sudah dianggap tidak relevan lagi...bertambah buruk selepas hilang kuasa," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 40 anggota Parlimen dari Umno dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai BERSATU.

Anggota Majlis Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin dilapor berkata, kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para kepimpinan tertinggi parti sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

-Bernama

No comments

Loading...