Header Ads

Bekas Ketua Pengarah perisikan tidak mengaku salah pecah amanah RM50.4 juta

BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.

Hasanah, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Loading...

Memetik laporan Berita Harian lagi, Hasanah didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April lalu dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memohon jaminan RM300,000 atas alasan anak guamnya yang sudah berusia dan lemah secara fizikal serta pertama kali dihadapkan ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan Hasanah diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai sebutan semula kes.

No comments

Loading...