Header Ads

Anwar kini sah MP Port Dickson

Anwar ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat Port Dickson di Dewan Rakyat hari ini. - Foto NSTP

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini telah sah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (PD) selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat di sini sebentar tadi.

Anwar, 71, mengangkat sumpah tersebut di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Beliau layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Loading...


PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Kecil di Port Dickson, Anwar memperoleh sebanyak 31,016 undi untuk menewaskan calon Pas Lt. Kol. (B) Mohd. Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima lagi calon Bebas iaitu bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan (82 undi) dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (4,230 undi).



Dua lagi calon bebas yang turut ditewaskan Anwar ialah Lau Seck Yan (214 undi); personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen  (154 undi).

Mengikut perancangan PRK Parlimen Port Dickson adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat diadakan dalam tempoh lima bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berlangsung pada 9 Mei lalu yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan buat pertama kalinya selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN). - Malaysian Update

No comments

Loading...