Header Ads

Ahmad Zahid beri keterangan sembilan jam, akan hadir lagi esok

Ahmad Zahid akan hadir semula ke Kompleks SPRM esok untuk memberi keterangan. - Foto Kosmo!

PUTRAJAYA - Selepas sembilan jam beri keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih terhadap kesetiaan pihak media kerana menunggunya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipanggil sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana Yayasan Akal Budi, lapor Kosmo Online.

“Saya tidak berhasrat untuk membuat sidang akhbar tetapi terima kasih atas kesetiaan media yang menunggu saya membuat liputan di sini,” katanya ketika keluar dari Kompleks SPRM di sini hari ini.

Loading...

Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan hadir semula untuk memberi keterangan esok.

“Esok saya akan hadir lagi, waktu atas permintaan saya,” ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum beredar dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.

Ahmad Zahid tiba di kompleks SPRM pada pukul 9.16 pagi dan keluar pada pukul 6.15 petang iaitu selama sembilan jam.

Turut dilihat tiba di kompleks tersebut ialah anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang tiba pada pukul 9.24 pagi dengan menaiki kereta SUV berwarna hijau gelap.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada  Nurulhidayah turut disoal siasat berhubung kes sama.

Turut dipanggil untuk bantu siasatan semalam ialah abang tiri kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil oleh SPRM sebanyak dua kali bagi membantu siasatan SPRM berhubung dana Yayasan Akal Budi yang didakwa digunakan untuk menjelaskan hutang kad kredit beliau dan keluarganya.

Ahmad Zahid juga dikatakan membantu siasatan SPRM berkaitan kenyataan beliau telah bertemu dengan kerabat diraja Arab Saudi yang memasukkan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments

Loading...