Header Ads

Ahmad Zahid bakal didakwa lebih 30 pertuduhan?


PUTRAJAYA - Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dikatakan bakal berdepan dengan lebih 30 pertuduhan melibatkan lebih RM70 juta.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu disyaki menerima wang daripada kontraktor yang ada hubungan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana beliau menjawat jawatan menteri di kementerian itu sebelum ini.

Loading...


Menurut sumber kepada Sinar Harian, Ahmad Zahid turut berdepan dakwaan berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan berkata, penahanan dibuat setelah mendapat izin mendakwa daripada  Pejabat Peguam Negara.


Penahanan dibuat pada jam 3.15 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

"Susulan itu, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," kata kenyataan tersebut.

Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jam 8 pagi hari ini untuk pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima notis untuk serah diri kelmarin, dan tiba di Ibu Pejabat SPRM tepat jam 3 petang semalam.

Beliau yang berbaju batik tiba menaiki kenderaan SUV Lexus putih kelihatan ceria dan sempat melambai ke arah kumpulan media yang menunggu di lobi pejabat suruhanjaya berkenaan.

Kira-kira 30 penyokong beliau berada di luar pagar memberikan sokongan.

Ahmad Zahid sebelum ini telah lima kali hadir memberi keterangan berhubung salah guna dana milik Yayasan Akal Budi.

No comments

Loading...