Adik Lokman Adam ditahan di bawah Akta Hasutan
SHAH ALAM - Adik kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu
(PMB), Datuk Lokman Noor Adam ditahan reman empat hari di bawah Seksyen 4 Akta
Hasutan bermula hari ini.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil
Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mengulas
lanjut bersabit perbuatan yang dilakukan adik Lokman, lapor Kosmo!.
"Benar kita menahannya pagi ini, dia direman empat hari
bermula hari ini dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta
Hasutan," katanya.
Loading...
Terdahulu berita mengenai penahanan itu dikongsi Lokman Noor
di dalam laman sosial Instagram miliknya yang mendedahkan adiknya ditahan
sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira pukul 3
pagi dirumahnya di Bukit Subang di sini.
"Adik saya direman empat hari di bawah Seksyen 4 Akta
Hasutan di IPD Shah Alam. Sebelum pilihan raya, Akta Hasutan mahu dihapuskan,
kini ia menjadi senjata utama mereka, tidak cukup saya, adik saya pula jadi
mangsa," kata Lokman dipetik menerusi Instagramnya.
Lokman Noor mendakwa adiknya ditahan kerana telah menularkan
status bergambar milik individu lain yang didakwa mengandungi gambar menghina
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di laman sosial Facebook.
"Saya bersetuju adik saya tidak sepatutnya mengongsikan
'posting' kenalan Facebook beliau yang mengandungi gambar seorang budak
menghalakan punggung ke arah wajah Mahathir yang muncul di kaca televisyen.
"Saya mengutuk tindakan individu itu (kenalan adiknya)
sama seperti saya mengutuk penyokong Bersih melakukan perkara sama terhadap
Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu.
"Sungguhpun begitu, tidak pula kita dengar penyokong
Bersih tersebut ditahan pada pukul 3 pagi dibawah Akta Hasutan, kenapa
ya?" Soalnya.
Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa hairan
apabila dua laporan polis yang dibuat di balai sama berkenaan penghinaan dua
pemimpin Pakatan Harapan iaitu Datuk Abdul Kadir Jasin dan Hishammuddin Rais
terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sehingga kini tiada sebarang
pendakwaan.
Post a Comment