Header Ads

1MDB: Najib bakal hadapi lebih banyak pertuduhan


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka berhadapan dengan lebih banyak pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh terdekat ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan enggan mengulas lanjut perkara itu.

Najib sebelum ini sudah beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM termasuk hari ini, di mana beliau memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya selama lebih enam jam.


Loading...
Pada 3 Oktober lalu, Najib memberi keterangan hampir tiga jam di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Najib sebelum ini didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan dan pada 4 Julai lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM. - BERNAMA

No comments

Loading...