Header Ads

Wakil PKR tegas mahu kempen di PD, ‘tidak takut ugutan PPBM’

Foto: The Star

SHAH ALAM — Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak akan mengendah desakan agar memohon maaf sebelum berkempen di Port Dickson.

Ahli parlimen PKR itu, yang menuduhkan Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat, malah menempelak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai “mentah”.

“Siapa pemimpin PPBM hendak halang [saya berkempen]? Saya minta PPBM sedarlah diri sikit,” kata wakil rakyat Kapar seperti dilapor Berita Harian.

“Parti baru setahun jagung sudah mahu menunjukkan sikap monopoli dalam Pakatan Harapan.”

Loading...


PPBM Port Dickson mendesak Abdullah yang sebelum ini mendakwa Dr Mahathir cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Walau pernah memohon maaf kepada perdana menteri, yang juga pengerusi PPBM, Abdullah tetap mempertahankan dakwaannya itu.

PPBM bahagian itu bimbang jika Abdullah tidak memohon kepada mereka secara terbuka, 2,000 ahlinya mungkin memboikot pilihan raya kecil itu yang diadakan bagi membolehkan Anwar kembali ke Parlimen.

Mereka bagaimanapun menegaskan PPBM tidak membantah Anwar bertanding di situ dan malah menyokong beliau “100 peratus”, lapor Sinar Harian.

Dalam kenyataan sama, Abdullah berkata PPBM tidak bertanding di kerusi tersebut, jadi ia tidak berhak menyekatnya.

“Parti yang bertanding di Port Dickson ialah PKR. Kenapa pula saya tidak boleh berkempen?” katanya lagi.

“Ingin ditegaskan saya akan turun ke Port Dickson dan saya tidak takut dengan ugutan daripada Bersatu.”

Sementara itu, seorang wakil rakyat DAP mengingatkan PKR agar tidak menerima tawaran Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu berkempen untuk Anwar.

Ramkarpal Singh berkata jika tawaran bekas menteri Umno itu yang “oportunis” diterima, baik bawa Datuk Seri Najib Razak bersama.

“Mengapa tidak terima Najib sekali sebagai sebagai sebahagian daripada kempen jika beliau nyatakan sokongan?” kata ahli parlimen Bukit Gelugor. - Projek MM

No comments

Loading...