Header Ads

Sultan Johor, TMJ sedang diperhatikan?


JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu telah dihampiri oleh seorang individu untuk membeli sebuah peralatan buatan Israel yang turut dimiliki kerajaan.

Menurutnya, peralatan itu digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data, malah teknologi tersebut diguna pakai sebelum pilihan raya untuk membantu dalam perang siber, lapor Sinar Harian.


Loading...

“Beberapa orang pegawai kerajaan telah berjumpa dengan saya dengan menyatakan bahawa SPRM, Unit Khas, SKMM dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini.

“Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diselewengkan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri,” katanya seperti dipetik dari posting di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail berkata, beliau tahu peralatan itu diguna pakai oleh kerajaan dahulu tetapi tidak sepatutnya berlaku di zaman Malaysia Baru, kerana tiada tempat untuk pengamalan ia pada masa kini.

Bagaimanapun, katanya, adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai telah menyampaikan pesan bahawa dirinya dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diperhatikan.

“Ramai juga 'cybertroopers' diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” katanya.

Tunku Ismail akui dirinya sememangnya vokal tetapi ia lahir dari rasa kasih sayang dan tanggungjawab kepada negeri ini serta rakyatnya.

No comments

Loading...