Header Ads

Staf Jabatan Kesihatan disyaki menyamar polis ditahan


Polis menahan seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kulim, Kedah kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sepasukan polis yang menjalankan Ops Pencegahan Jenayah di kawasan Machang Bubok menahan lelaki berusia 32 tahun itu yang memakai baju polis di sebalik jaketnya pada pukul 9.20 malam kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Loading...

"Semasa ditahan lelaki yang merupakan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kulim itu sedang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dan dia cuba melarikan diri ketika polis memperkenalkan diri.
Namun dia berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan polis menemui sebuah walkie talkie, sepasang gari dan dua helai baju berwarna gelap mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama lelaki itu," katanya semalam.
Beliau berkata siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai ia dicuri berdasarkan nombor enjin serta chasis kenderaan tersebut.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu menggunakan semua barangan yang dirampas itu untuk menyamar sebagai anggota polis untuk tujuan jenayah di sekitar daerah SPT dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya lelaki itu kini direman selama lima hari menurut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, beliau berkata polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 36 tahun dipercayai telibat kes samun bersenjata dan merampas sebilah pisau berukuran 26 sentimeter yang digunakan mereka untuk menyamun mangsa di sekitar SPT.
"Dua lelaki itu ditahan di hadapan sebuah bank di Taman Inderawasih, Perai dekat sini kira-kira pukul 1.20 pagi ini di percayai mahu menyamun mangsa di kawasan berkenaan," katanya.
Katanya dua lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya lebih 10 kes samun bersenjata di sekitar Daerah SPT sejak dua bulan lepas.
Beliau berkata mereka yang masing-masing mempunyai sembilan dan lapan rekod lampau itu turut positif dadah dan kini direman lima hari bagi membantu siasatan.
- Bernama

No comments

Loading...