Header Ads

Rafizi: Anwar gadai rumah untuk dana PRU14


Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli melakukan 'serangan' sekali lagi ke atas penyandang jawatan itu Datuk Seri Azmin Ali menjadikan saingan untuk jawatan pelapis parti berkenaan semakin panas.

Kali ini Rafizi mendakwa Azmin - dan penyokongnya - gagal membantu parti menyediakan dana mencukupi ketika PKR membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Berucap di majlis #Reformasi20Tahun di Kuantan, Pahang semalam Rafizi mendakwa keadaan itu mendorong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencagarkan rumah mereka yang terletak di Bukit Segambut.

"Kita ada menteri besar, kita ada exco, kita nampak gah.

Loading...


"Bukan kita suruh ambik duit Selangor, tapi kita minta dia buat tugas dia untuk cari dana dengan cara yang ikhlas, macam kami cari dana untuk parti," katanya tanpa menyebut nama sesiapa.

Tidak seperti kem Azmin, Rafizi menjelaskan pihaknya gigih mengumpul dana sebanyak mungkin dengan pelbagai cara termasuk melalui jualan baju T.

Keadaan itu katanya terpaksa dilakukan kerana mereka tidak mempunyai kedudukan atau kuasa, apatah lagi menjadi menteri besar.
"Tetapi kamu menteri besar, kamu exco. Kamu ada jawatan besar.

"Kamu boleh sebenarnya menjalankan tanggungjawab mencari dana dengan cara yang ikhlas untuk membantu parti menghadapi pilihan raya," katanya.

Namun kata bekas anggota parlimen Pandan itu wang yang diperlukan "tidak pernah" disalurkan kepada parti.

"Duit itu tak pernah datang saudara saudari. Seminggu, dua minggu sebelum pilihan raya.

"Saya bagitahu Datuk Seri Anwar, tak payah bimbang. Mana yang kami boleh bayar, akan bayar.

"(Duit) deposit (untuk calon), kempen semua, kami tolong, tapi yang tempat lain, parti kena bayarlah.


"Parti tak ada duit. Saudara tahu Anwar Ibrahim buat apa? Anwar dan Kak Wan (Dr Wan Azizah) gadaikan rumah di Bukit Segambut, buat pinjaman bank RM4 juta. Tak bayar (balik) lagi sampai sekarang," katanya.
Rafizi membariskan sejumlah pemimpin kanan dalam kemnya untuk menghadapi pemilihan parti yang sedang berlangsung sekarang.

Bersama kumpulan Rafizi termasuklah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Fuziah Salleh (Kuantan) Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baru), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar) dan William Leong (Selayang).

Rafizi juga menjelaskan mengapa mereka mengambil sikap lantang, beremosi dan membuat pelbagai pendedahansemasa berkempen.

"Sebab kami pendam (perasaan) banyak... lama kami pendam," katanya.

Menurut Rafizi selepas Anwar mencagarkan rumahnya untuk mendapatkan dana mencukupi bagi menghadapi PRU ke-14, dia berasa malu sekali gus sedih melihat bekas timbalan perdana menter berkenaan.

"Sekarang dah menang, timbul soal tawar jawatan, tawar kontrak, lantikan.

"Kalau anda berada di tempat kami, saudara saudarai (pun) akan marah," katanya.

Bagaimanapun untuk rekod, pada banyak keadaan Azmin mengambil sikap tidak membuat kenyataan balas - terutama secara langsung - terhadap dakwaan dibuat Rafizi. - Malaysiakini

No comments

Loading...