Header Ads

Protes Lokman terbantut, polis sekat, rampas mikrofon


Himpunan yang diketuai anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam di Jalan Tuanku Abdul Rahman malam ini gagal berlangsung seperti yang dirancang apabila ia disekat polis.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi diketuai ACP Shaharudin Abdullah menyekat perarakan berkenaan dan mengarahkan kira-kira 50 pesertanya bersurai.

Polis juga didakwa merampas mikrofon daripada Lokman.

Protes berkenaan terpaksa dipindahkan ke lokasi lain gara-gara ucapan Lokman gagal diperdengarkan kerana ditelan oleh bunyi muzik dan nyanyian pemuzik jalanan berhampiran kompleks beli-belah Sogo, lapor portal Malaysiakini.


Loading...

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan, Lokman kedengaran memberitahu polis untuk menyuruh pemuzik jalanan berkenaan merendahkan bunyi sistem PA kerana terlalu bising.

Apabila tiada tindak balas daripada sebarang pegawai polis, penunjuk perasaan yang dipimpin Lokman mula berarak ke arah ibu pejabat polis Dang Wangi.

Dihadang polis, penunjuk perasaan berundur kembali ke pintu masuk Sogo dan mereka dikepung anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force.

Lokman terus berucap dan pihak polis beberapa kali memintanya berhenti.
Dalam ucapan ringkasnya, Lokman mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng melalui kementeriannya telah membuat dua transaksi sebanyak RM5 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Lim Guan Eng telah buat dua pemindahan tunai yang sangat mencurigakan sebelum bermulanya kes Datuk Seri Najib (Razak).

"Pertama, pada 23 Mei 2018, dokumen... telah disediakan oleh kementerian kewangan berjumlah RM2.5 juta dari akaun MOF (Kementerian Kewangan) ke akaun bank SPRM.

"Manakala transaksi kedua pada 27 Julai... untuk tujuan pindahan sebanyak RM2.5 juta ke akaun bank SPRM," katanya.

Lokman berkata pihaknya membuat laporan hari ini untuk SPRM menyiasat jika transaksi ini dibuat untuk memastikan Najib didakwa atau ia rasuah bagi memastikan kes Lim digugurkan.

Himpunan yang bermula sekitar jam 9 malam tadi bersurai pada jam 10.30 malam.

Lokman pada sidang akhbar kemudiannya berkata Shaharudin tidak profesional dan pihak polis telah mengoyakkan salinan laporan polis yang dibuatnya.

Sementara itu, Shaharudin memberitahu media tiada tangkapan dibuat malam ini tetapi kertas siasatan mengenai kejadian itu telah dibuka dan diserah ke timbalan pendakwa raya.

"Dia tak bagi notis, bagi saya perhimpunan haram. Kita akan buka kertas siasatan.

"Itu bukan hak dia (Lokman) suruh polis beri tahu buskers turunkan volume pada sistem PA..dia tak boleh arahkan kita.

"Sebelum itu ada pegawai dah berbincang. Saya benarkan... tempoh sejam dari 9 malam tapi dia menghasut. Sebab dia langgar syarat-syarat yang dibincang. Saya tak benarkan dia berarak. Kalau dia nak buat laporan pergilah ke balai," katanya.

Untuk rekod kawasan Sogo memang sinonim dengan protes suatu ketika dulu, iaitu selepas Tun Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan.

Buat seketika Lokman adalah antara individu yang giat terbabit dalam demonstrasi jalanan. Beliau kemudian menyertai Umno dan baru-baru ini menganjurkan kursus khas bagi melatih anggota serta penyokong parti itu mengadakan protes.

Kursus untuk membina pembangkang berwibawa itu diadakan di sebuah institusi latihan Umno di Janda Baik, Pahang.

No comments

Loading...