Header Ads

Presiden tanpa gaji, UIA sambut baik pelantikan Maszlee


KUALA LUMPUR, 5 Sept ― Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden ketujuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama tiga tahun disambut baik oleh warga universiti itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM.

“Pengurusan UIAM berpandangan Maszlee merupakan calon yang ideal kerana beliau merupakan seorang bekas pensyarah UIAM. Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas mengenai persekitaran UIAM memandangkan beliau juga pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.


Loading...

“Meskipun sibuk dengan mandat sebagai menteri pendidikan, Maszlee telah menyatakan kesediaan untuk memegang jawatan Presiden UIAM dan beliau juga telah menzahirkan komitmen tidak akan menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh memegang jawatan itu,” kata kenyataan itu.

Pelantikan Maszlee juga didukung oleh Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM, yang menekankan kepentingan menegakkan autonomi universiti supaya dapat mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan yang holistik.

“Dengan pelantikan ini juga, beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah mewujudkan satu taman ilmu yang dihormati oleh masyarakat dalam negara dan antarabangsa, ia sejajar dengan kehendak  UIAM yang terdiri dari ahli negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya serta negara lain amnya.

“Jawatankuasa Pengurusan Universiti, kakitangan akademik dan pentadbiran serta seluruh pelajar UIAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dr Maszlee Malik atas pelantikan ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan atas pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Pihak UIAM turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Rais atas sumbangan serta jasa beliau kepada UIAM sepanjang menerajui UIAM sebagai presiden. ― Bernama

No comments

Loading...