Header Ads

Pegawai, anggota polis direman kes lindungi pusat urut


SUNGAI PETANI - Lima pegawai dan anggota yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah dengan melindungi kegiatan pusat urut di Nibong Tebal, Pulau Pinang, direman selama lima hari mulai hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Nurul Ainna Ahmad dari Mahkamah Majistret Sungai Petani.


Loading...

Reman bertujuan membolehkan siasatan terhadap seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan, dua berpangkat Inspektor dan anggota masing-masing berpangkat Sarjan dan Lans Koperal yang berumur antara 28 hingga 45 tahun, lapor Sinar Harian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Menurut sumber, suspek pertama ditahan di pusat urut berkenaan pada pukul 11.20 pagi semalam, manakala empat lagi ditahan di SPRM cawangan Sungai Petani di antara pukul 6.30 petang hingga 7.00 petang selepas hadir memberi keterangan.

“Hasil maklumat dan risikan mendapati kesemua suspek telah meminta wang rasuah RM4,000 daripada pengusaha premis urut tersebut yang beroperasi secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments

Loading...