Header Ads

Nurul Izzah jawab Ambiga, sangkal nepotisme dalam PKR


BUKIT MERTAJAM ― Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyangkal bahawa akan wujud soal nepotisme dalam parti itu sekiranya bapanya Datuk  Seri Anwar Ibrahim menjadi anggota parlimen nanti.

Memandang positif kritikan dan pandangan yang dilemparkan, anggota parlimen Permatang Pauh berkata beliau akan menumpukan tumpuan pada kerja serta tugas yang diberikan oleh rakyat kepadanya.

Nurul Izzah menegaskan bagi menangkis tanggapan nepotisme, seharusnya pemberian kontrak dan dana tidak diberikan kepada mereka yang tergolong dalam keluarga apabila memegang jawatan dalam kerajaan.

Loading...


“Pada saya kita ambil secara positif dan kita juga dengan penuh rendah diri memahami dalam skop akan ada suara-suara yang tidak bersetuju dengan kita.

“Alhamdulilah saya tidak termasuk dan tergolong dalam kerajaan pusat, saya amat-amat bersyukur diberikan peluang oleh rakyat Permatang Pauh  yang menjadi suara kepada isu-isu termasuklah pemerkasaan anak-anak muda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Pada saya, kita harus pastikan jangan diberikan juga pemberian kontrak atau pemberian berupa dana kepada mereka yang tergolong dalam keluarga kita, bila kita memegang jawatan dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Malaysiaku Mini RTC Pulau Pinang di Mengkuang Titi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga, yang mempersoalkan langkah untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Ambiga dilapor berkata peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah itu mencetuskan dakwaan amalan nepotisme dalam PKR.

Sementara itu berhubung permintaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Port Dickson yang tidak mahu naib presiden PKR Rafizi Ramli dan ahli parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak turun berkempen di Port Dickson, Nurul Izzah berkata beliau menghargai perkara itu.

“Saya hargai kenyataan pimpinan utama PPBM [Port Dickson] dan saya harap dalam suasana ini kita lahirkan keharmonian yang kita mahukan iaitu untuk menunaikan janji dan agenda kita buat rakyat. Ini menunjukkan PPBM pun sudah bersuara,” katanya.

Mengenai PRK Port Dickson itu, Nurul Izzah berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

“Menteri besar merangkap pengerusi PKR Negeri Sembilan telah mengeluarkan kenyataan semalam di mana mesyuarat telah bermula dan saya akan berbincang dengan beliau.

“Sudah tentunya isu-isu tempatan akan difokuskan. Dan sudah tentu kita perlukan gerak kerja dari semua dengan hasrat untuk menjadikan suara di parlimen itu suara yang dapat didengari dan mengesankan,” katanya. ― Bernama

No comments

Loading...