Header Ads

‘Najib fitnah k’jaan salah guna RM42b tapi cuma tinggalkan RM450j’ - Guan Eng


Bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak memfitnah kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan RM42.2 bilion setakat 31 Disember 2017 apabila beliau cuma meninggalkan RM450 juta setakat 30 April 2018.

Najib masih lagi mengungkit isu Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM42.2 bilion setakat 31 Disember 2017 tetapi beliau gagal untuk menyatakan bahawa dana ini cuma tinggal RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan.

Pembayaran dan pemindahan wang kerajaan hanya boleh dibuat atau digunakan daripada Akaun Hasil Disatukan dan dengan ini, cuma RM11.86 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan sahaja yang boleh dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik GST dan Tabung Bayaran Balik Cukai.


Loading...

Walau bagaimanapun, RM11.86 bilion tersebut tidak dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik Cukai. Jumlah bayaran balik GST dan bayaran balik cukai setakat 31 Mei 2018 seperti yang diumumkan sebelum ini adalah RM35.4 bilion.

Menurut polisi kerajaan persekutuan, semua pungutan yang diterima hendaklah disimpan dalam satu kumpulan wang yang dikenalikan sebagai Kumpulan Wang Disatukan. Tetapi, jumlah dana yang disimpan di dalam kumpulan wang ini adalah kepunyaan tiga akaun berbeza iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang diselenggara oleh Akauntan Negera.

Najib seharusnya faham bahawa hanya jumlah yang terdapat dalam Akaun Hasil Disatukan boleh digunakan untuk bayaran balik GST dan bayaran balik cukai.

Apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei lalu, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah ini, cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit.

Dengan kata lain, baki yang tinggal adalah RM11.86 bilion setakat 31 Disember tahun lalu dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta setakat 30 April lalu.

Ini juga menunjukkan bahawa Akaun Hasil Disatukan telah menyusut dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion dalam masa empat bulan.

Najib patut menjawab mengapa jumlah ini merosot dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion atau 96 peratus dalam Akaun Hasil Disatukan dari 31 Disember 2017 hingga 30 April lalu.

Akan tetapi, Najib terus memfitnah kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan RM42.2 bilion yang beliau mendakwa ditinggalkan kepada kerajaan Pakatan Harapan pada 31 Disember 2017 sedangkan beliaulah yang sebenarnya yang meninggalkan RM450 juta sahaja untuk digunakan pada 30 April lalu.

Walaupun kerajaan telah memberikan percutian cukai yang berkuatkuasa 1 Jun 2018, kedudukan kewangan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang belum diaudit telah bertambah baik kepada RM59.90 billion setakat 31 Julai lalu.

Pada masa yang sama, jumlah Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit juga menunjukkan baki yang lebih tinggi iaitu RM3.81 bilion daripada RM450 juta setakat 30 April lalu.

Peningkatan di dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit kepada RM3.81 billion pada 31 Julai adalah penambahbaikan 8.5 kali ganda yang diteraju oleh Pakatan Harapan berbanding kerajaan BN setakat 30 April.

Oleh itu, adalah tidak benar bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah menyalahgunakan dana Kumpulan Wang Disatukan yang diwarisi daripada kerajaan BN seperti yang didakwa oleh Najib.

LIM GUAN ENG adalah menteri kewangan dan setiausaha agung DAP. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysian Update.

No comments

Loading...