Header Ads

Malaysia mahu rundingan semula harga air mentah

Dr Xavier Jayakumar - Foto Berita Harian

ALOR SETAR - Malaysia mahu meneruskan usaha rundingan dengan Singapura berhubung kajian semula harga air mentah yang dijual negara ini susulan kadar itu disifatkan tidak lagi munasabah.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, adalah tidak wajar sekiranya  Singapura masih mengekalkan kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dibeli ketika ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya bercadang untuk adakan rundingan bersama wakil Singapura untuk mengkaji semula harga jualan pada pertemuan antara kedua-dua kerajaan dalam masa terdekat.

Loading...


“Saya setuju dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu kaji semula harga air ini, kerana harga tiga sen setiap 1,000 gelen air yang dibeli Singapura daripada kita, tidak lagi munasabah,” katanya, pada sidang media, selepas hadir taklimat berkaitan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di pejabat JPS Kedah.

Xavier berkata, beliau bersedia berunding dengan wakil kerajaan Singapura sekiranya diberikan peluang adakan pertemuan.

“Kita perlu duduk bincang bersama, dan pilih masa yang sesuai untuk adakan pertemuan antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Jika Singapura enggan bincang isu ini, saya ingat itu tindakan tidak betul, perlu ada rundingan,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, perjanjian air antara negara itu dan Malaysia tidak boleh disentuh dan perlu diteruskan mengikut terma ditetapkan selama ini.

Terdahulu, Dr Mahathir turut menyatakan hasrat Malaysia menyemak semula Perjanjian Air 1962 dan melihat kemungkinan menaikkan harga air mentah dibekalkan kepada Singapura.

Menurut perjanjian yang tempohnya berakhir pada 2061, Malaysia perlu membekalkan kepada Singapura sejumlah 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada air yang sudah dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

No comments

Loading...