Header Ads

Khidmat Zakaria sebagai Pengarah FGV ditamatkan


KUALA LUMPUR - Khidmat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd., Datuk Zakaria Arshad, sebagai pengarah syarikat itu ditamatkan berkuatkuasa hari ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat perniagaan pertanian itu berkata, tindakan tersebut berkuatkuasa selepas FGV menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini yang menarik balik pelantikan Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam pelaksanaan perlembagaan baharu FGV yang telah diluluskan oleh pemegang saham FGV pada 28 Jun lepas.

Loading...


Tindakan itu mengikut Klausa 89(3) perlembagaan tersebut, yang menyatakan khidmat pengarah lantikan kerajaan akan ditamatkan apabila pelantikan beliau ditarik balik.

Antara jawatan yang kini dipegang Zakaria dalam organisasi lain ialah Naib Pengerusi Persatuan Penapis-penapis Minyak Sawit Malaysia; Anggota Silih Ganti Lembaga Minyak Sawit Malaysia; Anggota Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE) Universiti Malaysia Kelantan dan penasihat Persatuan Trak Makanan Bergerak dan Makanan Jalanan Malaysia.

Perubahan itu menyusuli pelantikan dua pengarah bebas baharu FGV - bekas CEO Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff dan ahli lembaga pengarah Zurich Life Insurance Malaysia Bhd., Datin Hoi Lai Ping. - Bernama

No comments

Loading...