Header Ads

'Keputusan Langkah PD tak ikut saluran betul' - Zuraida


Penyandang ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin mendakwa langkah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson seperti yang diumumkan hari ini tidak diputuskan melalui saluran yang betul.

"Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson.

"Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loading...


Beliau berkata kelakuan seperti itu mungkin menimbulkan tanggapan PKR kini dimanipulasi sesetengah kelompok.

Semalam, Naib Presiden PKR Tian Chua turut membidas Rafizi kerana menurutnya bekas anggota parlimen Pandan itu merancang PRK secara rahsia.

Ia susulan daripada kenyataan Rafizi bahawa "keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua orang dan hanya diselesaikan dengan beberapa orang di kalangan kita".

Sidang media pengosongan kerusi parlimen Port Dickson sebagai laluan kepada Anwar hari ini disertai calon timbalan presiden Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution, Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan naib presiden Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata setiap anggota PKR dan juga rakyat Malaysia ingin melihat Anwar kembali ke Parlimen, tetapi ia mestilah diputuskan mengikut saluran yang betul.

"Penting untuk semua pimpinan menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan. Saya amat berharap Anwar sendiri akan menyatakan pendirian tentang perkara ini," katanya yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Terdahulu, Saifuddin berkata perkara itu dibincang dalam mesyuarat biro politik - badan pembuat keputusan eksekutif - semalam.

Difahamkan Zuraida dan ramai pemimpin utama parti tidak hadir ke mesyuarat itu. Anwar berada di Hong Kong manakala Azmin di Vietnam sebagai wakil kerajaan dalam Forum Ekonomi Dunia. - Malaysiakini

No comments

Loading...