Header Ads

Kempen untuk Anwar, pengkhianat parti, kata KJ

Paparan Twitter Khairy - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 17 Sept ― Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan pemimpin Umno berkempen bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahi disiplin Umno.

“Tataetika parti jelas. Kalau kempen untuk parti lawan, kena buang daripada Umno,” kata bekas menteri sukan dan ketua Pemuda parti itu di Twitter hari ini.

“Itu bukan lagi meraikan perbezaan pendapat. Itu mengkhianati parti.”

Presiden Umno kelmarin berkata parti itu tidak akan mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Nazri Aziz yang berhasrat berkempen untuk ketua umum PKR di Port Dickson, lapor Projek MM.

Loading...


“Apa perlunya [tindakan]? Saya tidak nampak ada permasalahan. Saya sering meraikan perbezaan pendapat,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilapor Sinar Harian.

Kerusi PKR itu dikosongkan Rabu lalu bagi memberi laluan kepada Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu dan menyertai Parlimen.

Dalam kenyataannya, bekas menteri pelancongan itu juga menyarankan Umno tidak mencabar Anwar agar tidak menjejaskan peluang kerjasama dengan PKR.

Kerjasama yang diharapkan Umno dengan parti-parti lain di luar Barisan Nasional dilaporkan untuk menyertai semula kerajaan persekutuan.

Namun, dalam coretannya di Twitter hari ini, Khairy yang juga ahli parlimen Rembau menggesa parti itu atau Barisan Nasional meletakkan calonnya.

“Port Dickson bukanlah kerusi yang boleh menang tetapi kita mesti melawan rasa keberhakan politik ini yang tiada rasa malu,” katanya.

“Pertabalan hanya untuk raja-raja. Tetapi Anwar bukannya raja.”

Beliau mengulas kenyataan pemimpin PKR Negeri Sembilan yang menggesa pembangkang tidak bertanding agar Anwar boleh menang percuma.

“Tiada masalah jika ada pertandingan tetapi lebih mudah jika tiada perlawanan. Semua orang tahu Anwar itu calon perdana menteri,” kata Aminuddin Harun, yang juga menteri besar.

No comments

Loading...