Header Ads

Kelantan perlu lebih berhemah urus kewangan, kata Guan Eng


PUTRAJAYA - Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913 juta, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata sejak 2013 hingga 2017, Kelantan menerima sebanyak RM363 juta bantuan kewangan defisit, yang merupakan pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.

"Pemberian tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri yang mengalami defisit, di mana hasil tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Loading...

Guan Eng berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengamalkan pengurusan kewangan berhemat dengan memastikan perbelanjaan tidak melebihi hasil negeri.

"Kerajaan Negeri Kelantan diperhatikan telah mencatat defisit akaun mengurus untuk lebih daripada lima tahun berturut-turut," katanya.

Guan Eng berkata, tanpa bantuan pemberian defisit daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu untuk menampung bayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Pada 2017, hanya dua negeri yang menerima pemberian defisit iaitu Kelantan dan Perlis," katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan juga memberi pendahuluan kepada Kerajaan Negeri Kelantan daripada Kumpulan Wang Pendahuluan, iaitu tabung pusingan yang bertujuan membantu negeri-negeri mengatasi masalah aliran tunai.

Sehingga 30 Jun lepas, katanya jumlah pendahuluan yang telah disalurkan kepada negeri itu berjumlah RM550 juta, juga merupakan penerima terbesar bantuan tersebut.

"Daripada jumlah itu, pendahuluan yang masih tertunggak dan belum dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Kelantan ialah sebanyak RM384 juta," katanya.

Di samping itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan juga memberi pinjaman kepada Kerajaan Negeri Kelantan dengan baki pinjaman belum selesai berjumlah RM1.4 bilion dan tunggakan sebanyak RM434.5 juta, sehingga 30 Jun lepas.

"Tahap tunggakan pinjaman juga menunjukkan ketidakmampuan kerajaan negeri untuk memenuhi dan menguruskan komitmen kewangannya," katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan berharap Kerajaan Negeri Kelantan dapat mengurus hal ehwal kewangan negeri dengan lebih bertanggungjawab dan berhemah seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain meningkatkan hasil secara profesional dan sistematik bagi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan. - Bernama

No comments

Loading...