Header Ads

Kanak-kanak lelaki maut digilis kereta bapa sendiri


KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas digilis kereta bapanya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Wakaf Che Yeh, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, mangsa, Muhammad Rayyan Rizqi Mohd. Fakhrul Zaman bersama ibu dan bapanya baharu selesai makan di restoran berkenaan.


Loading...

Memetik laporan Kosmo!, difahamkan, lelaki berusia 38 tahun membawa masuk anaknya itu terlebih dahulu ke dalam kereta jenis Proton Iris dengan isterinya masih berada di luar kereta.

Sumber berkata, lelaki itu meletakkan mangsa di kerusi penumpang hadapan dan kanak-kanak itu bersandar di pintu sebelah kiri.

"Sebaik sahaja isterinya membuka pintu kereta sebelah penumpang untuk masuk, kanak-kanak itu terjatuh ke luar kereta.

"Lelaki itu yang cuba menyelamatkan anaknya kemudian telah tertekan pedal minyak sehingga kereta mengundur dan kemudian menggilis mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Tambahnya, Proton Iris berkenaan turut bergesel dengan sebuah Proton Persona yang diletakkan di sebelah kiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments

Loading...